Membicarakan  tentang seks perlu sikap yang amat berhati hati kerana ia memerlukan  adab dan penggunaan bahasa yang terkawal supaya tidak memperlihatkan isu  ini menjadi nampak lucah dan menjijikkan. Bagaimanapun seks tetap  menjadi isu penting untuk diketengahkan kerana banyak orang dapat  berbual tentang isu seks ini sambil diiringi hilaian ketawa penuh  ghairah dan merangsangkan. Lebih dahsyat lagi seks telah diketengahkan  dalam berbagai bentuk dan gaya yang hanya menaikkan syahwat sahaja dan  lebih banyak nilai komersil dari nilai-nilai pendidikan. Ini membawa  keuntungan besar bagi banyak pihak terutama dalam semua jenis media  massa, sedangkan apa yang diketengahkan oleh media massa bukanlah  pengetahuan seks yang sebenarnya. 
Dalam  Islam isu seks bukanlah sesuatu yang tabu atau memalukan untuk  diketengahkan , bukan juga hanya semata mengetengahkan hukum halal dan  haram. Ini disebabkan melakukan hubungan seks termasuk ibadah dalam  rumahtangga seorang muslim. Dalam sunnahnya Nabi saw menyarankan seorang  lelaki memilih wanita yang dapat melahirkan banyak anak. Ingin  mempunyai anak adalah urusan bagaimana hubungan seks dilakukan oleh  pasangan ditambah juga ada beberapa hadis yang mencatat doa doa dan  tatacara hubungan seks oleh pasangan Muslim/Muslimah agar mendapat  berkah kehangatan dan kenikmatan hubungan seks suami isteri disamping  dapat melahirkan anak anak yang soleh/solehah.
Banyak  pasangan Muslim/Muslimah tidak didedahkan dengan hadis-hadis tentang  hubungan seks suami isteri yang lengkap. Ini disebabkan umat selalu  merujuk hal ini kepada pakar perubatan atau kaunselor sahaja seolah olah  Islam bukan tempat rujukan yang tepat. Asasnya perlu dibentuk dengan  gaya dan cara yang sopan agar tidak terlalu menonjol atau mendatangkan  fitnah dalam usaha menyampaikan dakwah.
Banyak  nasihat dalam hadis-hadis Nabi saw tertuju kepada kaum lelaki kerana  kelihatannya pengurusan hubungan seks adalah perkara yang amat penting  bagi para suami. Malah melayani hubungan seks dalam rumahtangga termasuk  isu ketaatan bagi para isteri. Banyak para wanita telah diberikan  beberapa hadis ini sebelum mendirikan rumahtangga.
DALAM  Al-Quran Allah SWT memberikan "kebenaran' kepada suami untuk melakukan  hubungan seks dengan isterinya pada bila-bila saja. Hal ini seperti  dinyatakan dalam firmanNya yang bermaksud: 
"Isteri-isteri kamu adalah sawah ladang kamu, maka datangilah sawah ladangmu itu dengan cara yang kamu sukai." (Surah al-Baqarah, ayat 223)
Bagaimanapun, sebenarnya dalam ayat itu ada beberapa ajaran yang tersirat, iaitu 
"Mendatangi sawah ladang mestilah dilakukan pada waktu dan masa yang sesuai, bukan sesuka hati".
"Jika suami mengajak isterinya ke tempat tidurnya lalu dia menolak ajakan tsb. hingga ia menjadi marah, maka para malaikat akan melaknatinya sampai subuh." (HR.Ahmad, Bukhari dan Muslim)
"Hak suami terhadap isterinya adalah tidak menghalangi permintaan suaminya kepadanya sekalipun sedang di atas punggung unta".
Tetapi  janganlah kita menggunakan ayat ini untuk melakukan seks didalam kereta  pulak nanti padah, terjadi kemalangan jalanraya. Tapi ayat itu  bermaksudnya bertapa pentingnya permintaan sang suami yang tidak boleh  ditolak oleh sang isteri dalam melakukan hubungan seks.
Dalam buku Fiqhus Sunnah karangan Sayyid Sabiq Ibny Hazam berkata: 
Suami  wajib mengumpuli isterinya sedikitnya satu kali setiap bulan jika ia  mampu. Kalau tidak, bererti ia durhaka terhadap Allah SWT. Kebanyakan  Ulama sependapat dengan Ibnu Hazm walaupun terdapat beberapa perbedaan  pendapat. Bagaimanapun ini memperlihatkan bahawa keperluan hubungan seks  bukan semata kepentingan para suami tetapi juga keperluan naluri  kewanitaan dalam hubungan lelaki/wanita.
Suatu  malam Khalifah Umar Al Khattab meronda kota Madinah dan Umar mendengar  keluhan dan rintihan seorang wanita dalam rangkapan kata katanya: 
Malam  ini begitu panjang dan tepi langit begitu hitam. Sudah lama aku tiada  kawan untuk bersenda gurau. Demi Allah!. kalau tidak kerana takut kepada  Allah SWT semata mata tentulah kaki kaki tempat tidur ini sudah  bergoyang-goyang. Tetapi, O Tuhanku! Rasa malu cukup menahan diriku  Namun, suamiku sungguh lebih mengutamakan mengendarai untanya. 
Rupanya  suami wanita ini selalu bertugas pergi berjihad fisabilillah. Saidina  Umar kemudian menetapkan waktu tugas bagi tenteranya untuk berada di  medan tempur hanya selama enam bulan, sebulan untuk pergi, empat bulan  di medan tempur lalu sebulan untuk pulang.
Dari  kisah di atas memperlihatkan bahawa keperluan hubungan seks bukan saja  keinginan kaum lelaki tetapi juga keinginan semula jadi wanita apa lagi  dalam ikatan yang sah sebagai suami/isteri. 
Seorang  sahabat Nabi SAW pun pernah menyelesaikan masalah seorang wanita yang  mengadu hal tentang suaminya yang tidak suka melayani keinginan seksnya  kerana hanya suka berpuasa dan bersolat sepanjang masa. Lalu sahabat ini  menasihati suami wanita ini melalui hujjahnya:
"Sesungguhnya isterimu mempunyai hak atas dirimu. Bahagian dia ada pada yang empat (dua paha lelaki, dua paha perempuan) bagi orang yang berakal. Berikanlah kepadanya. Dan janganlah anda perpanjang alasan."
Rasulullah saw bersabda:
"Bagi kamu melakukan jima' (hubungan seks) dengan isterimu adalah satu pahala. lalu para sahabat bertanya: "Wahai Rasulullah, apakah seseorang di antara kita menyalurkan syahwatnya akan mendapat pahala? Jawabnya: bagaimana pendapatmu kalau dia menyalurkan syahwatnya itu pada yang haram, apakah ia berdosa? Begitulah jika ia meletakkannya pada yang halal, maka ia mendapat pahala."(HR. Muslim )
Malah Rasulullah saw mengajarkan ini:
"Jika seseorang di antara kamu melakukan hubungan seks dengan isterinya hendaklah bersungguh sungguh. Bila ia sedang menyelesaikan keperluannya itu padahal isterinya belum sampai kepada klimaksnya, maka janganlah ia tergesa gesa (untuk mengakhirinya) sebelum keperluan isterinya diselesaikan pula".
Hadis  ini memperlihatkan bahawa hubunga seks suami isteri bukan semata  pemuasan hawa nafsu satu pihak sahaja tetapi juga keperluan fisik dan  biologi kedua keduanya, suami dan isteri. Misalkan lagi tentang Azl. Azl  adalah satu kaedah hubungan seks yang biasa dilakukan oleh bangsa Arab  untuk menjarakkan kehamilan yaitu suami mengeluarkan air maninya di luar  faraj isterinya. Dalam kaedah ini Nabi saw mendiamkan tanpa bantahan.  Mazhab Hanafi berpendapat bahawa Azl itu boleh jika isteri setuju dan  makruh jika isteri tidak setuju. Pendapat fiqh ini memperlihatkan bahawa  kepuasan melakukan hubungan seks tetap menjadi perkara utama dalam  hubungan suami isteri.
Setiap  pasangan suami isteri haruslah melihat hubungan seks dari sudut yang  betul dan tepat kerana hubungan seks bukan semata hanya memenuhi  keinginan fisik tetapi lebih dari itu. Banyak pasangan yang hidup  bertahun tahun tidak dapat menikmati kepuasan hubungan ini malah banyak  pula yang merasa hambar, kurang daya upaya yang akhirnya hanya sekadar  menjadi tugas rutin semata. Akibatnya ada yang mencari jalan keluar  dengan tarikan tarikan seks yang lain seperti hubungan seks luar nikah  atau sekadar menonton video-video lucah sehingga sukar menjauhi  perbuatan onani walaupun sudah ada isteri atau suami.
Sunat 
 
Sunat  melakukan persetubuhan pada malam Jumaat dengan syarat ketika suami  menginginkan hubungan berkenaan isteri berada dalam keadaan suci tanpa  uzur.
Perkara ini berdasarkan riwayat bahawa Rasulullah SAW bersabda: 
"Siapa yang mandi junub pada Jumaat dan dia pergi ke masjid, maka dia seperti telah berkorban seekor kambing."
Makruh 
 
Makruh  melakukan hubungan seks apabila satu pihak berada dalam ketakutan,  waktu yang tidak sesuai, tidak ghairah dan semua keadaan yang boleh  membuat hubungan seks itu tidak mencapai matlamat sebenar.
Haram 
 
Haram hukumnya melakukan hubungan seks apabila isteri berada dalam keadaan haid seperti firman Allah SWT, maksudnya: 
"Janganlah kamu mendekati mereka (isteri kamu untuk melakukan hubungan seks) hingga mereka bersih." (Surah al-Baqarah, ayat 222).
Pakar  perubatan moden juga bersetuju bahawa perempuan yang sedang haid tidak  boleh disetubuhi kerana pada waktu itu mereka sedang mengeluarkan darah  kotor yang mengandungi banyak kuman dan bakteria.
Di  samping itu, pada masa haid saraf alat kelamin mereka sedang berada  dalam keadaan yang tidak stabil. Diharamkan juga bersetubuh pada siang  puasa Ramadan dan pada waktu melaksanakan ihram atau menyetubuhi isteri  melalui duburnya.
Demikian  besarnya perhatian Islam dalam masalah pernikahan, khususnya masalah  hubungan seksual hingga suami dan isteri tidak ada berasa dirugikan atau  dipaksa.
Perkara itulah yang dipesan Rasulullah SAW dalam sabdanya: 
"Takutlah kamu kepada Allah dalam urusan perempuan. Sesungguhnya kamu ambil mereka dengan amanah Allah dan kamu halalkan mereka dengan kalimah Allah." (Hadis riwayat Muslim)
Dengan  kesedaran ini, maka suami dan isteri akan melakukan hak dan kewajipan  mereka dengan baik berdasarkan panduan Al-Quran dan sunnah. Tidak akan  ada yang berasa dizalimi atau menzalimi. Suami dan isteri sama berusaha  menciptakan keluarga bahagia baik di dunia atau akhirat.
Wasallam.
credit untuk :: resepirahsiaku
No comments:
Post a Comment